Friday, 8 August 2008

Muzium

MUZIUM SARAWAK
Muzium Sarawak didirikan dalam tahun 1891 dan diperbesarkan seperti bentuk yang sedia ada dalam tahun 1911. Pada asalnya bangunan ini dibina untuk menyimpan dan mempamerkan seni kraftangan masyarakat pribumi tempatan dan koleksi binatang tempatan seperti yang dicadangkan oleh Pakar Alam Semulajadi, Alfred Wallace, yang menjalankan kerja-kerja mengumpul spesimen-spesimen di Negeri Sarawak pada masa tersebut.

Sejak ianya dibina, bangunan ini telah beberapa kali diubahsuai serta diperbaiki. Rekabentuknya yang membujur, 44' x 160', mempunyai
dinding dan tiang yang diperbuat daripada batu bata dan beratapkan belian dan konkrit. Ianya dibina mengikut senibina Eropah dengan
edifiknya mengikut stail Ratu Anne (Zaman Victoria). Galeri-galeri yang terdapat didalamnya diterangi melalui tingkap yang berbentuk kubah pada bumbung bangunan untuk memberi ruang dinding yang luas.

Semasa Zaman pemerintahan Jepun, muzium ini telah diletak di bawah
jagaan seorang Pegawai Jepun yang simpati terhadap muzium ini.
Disebabkan itu, tidak banyak kerosakan atau kecurian berlaku. Pada masa ini, dengan perancangan yang teliti dan penjagaan yang rapi, bangunan ini telah dijadikan pusat pameran koleksi sejarah alam semulajadi di Sarawak.

Masa Lawatan : Isnin hingga Ahad 9.00 a.m. hingga 4.30 p.m Masuk adalah Percuma


DEWAN TUN ABDUL RAZAK

Dewan Tun Abdul Razak merupakan salah satu daripada galeri Muzium Sarawak. Namanya diambil sempena nama Perdana Menteri Kedua Malaysia. Ia merupakan bangunan dua tingkat dan dahulunya digunakan sebagai Dewan Perhimpunan Perundangan daripada tahun 1973 sehingga 1975. Pada 1982, ia dijadikan galeri pameran dan dibuka secara rasmi dalam tahun 1983.

Aras bawah bangunan tersebut digunakan untuk mempamerkan pameran-pameran sementara mengikut tema. Di bahagian berkenaan juga ditempatkan kedai muzium yang menjual pelbagai cenderamata yang terdiri daripada barang-barang seni tradisional, kemeja, buku dan sebagainya.

Pada aras satu, kebanyakkan barang pameran merupakan barangan pra-sejarah seperti pasu berwarna, barang-barang loyang, perabot Cina, ruangan rumah panjang dan sebagainya. Sebahagian besar barangan arkeologi yang diperolehi di negeri Sarawak juga ada dipamerkan di sini.
Masa Lawatan : Isnin hingga Ahad 9.00 a.m. hingga 4.30 p.m Masuk adalah Percuma


MUZIUM ISLAM

Muzium Islam telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak, pada 22 Mei 1992. Bangunan tersebut dahulunya merupakan James Brooke Malay College dan kemudian diambil-alih dan diubah-suai bersesuaian dengan tarafnya sebagai muzium.

Pada tahun 1930 bangunan ini dikenali sebagai Madrasah Melayu Sarawak. Ianya digunakan khas untuk melatih lebih ramai guru dalam pendidikan Melayu peringkat tinggi. Tujuannya adalah untuk menggalakkan lebih ramai orang Melayu untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam membangunkan masyarakat Melayu itu sendiri (Sarawak Gazette, 2 Mac, 1931). Sekolah-sekolah pada masa tersebut amat mahir dalam penggunaan bahasa Inggeris tetapi masih kekurangan guru Melayu yang berkelayakan.

Bangunan tersebut memiliki lantai yang ditinggikan dan ruangannya berbentuk segiempat dengan tiga ruang tambahan berserta dua laman dalaman. Reka bentuknya amat unik dan dikatakan satu-satunya yang ada di negeri ini. Hampir keseluruhan bangunan ini diperbuat daripada konkrit dan kayu manakala atapnya adalah atap genting.Objektif utama mendirikan muzium ini adalah untuk memperkenalkan kepada rakyat di negeri ini dan juga para pelawat akan keunikan ketamadunan Islam dalam suasana masyarakat Sarawak. Dalam erti kata lain, dengan penubuhan muzium ini, adalah diharapkan rakyat akan lebih menghargai dan memahami sumbangan Islam terhadap ketamadunan manusia sejagat.


MUZIUM SEJARAH CINA

Muzium Sejarah Cina telah dirasmikan oleh Menteri Muda Kebudayaan, Belia dan Sukan, YB Alfred Yap Chin Loi pada 23 Oktober 1993. Bangunan itu sendiri memiliki ciri-ciri sejarah dan telah dibina dalam tahun 1912. Dari tahun 1912 hingga 1921 bangunan ini telah digunakan sebagai mahkamah oleh masyarakat Cina.

Tujuan ia ditubuhkan adalah sebagai sumber maklumat tentang sejarah pelbagai bangsa Cina yang menakjubkan. Peranan muzium Cina yang paling mencabar ialah mendidik generasi sekarang agar menghargai segala perjuangan dan nilai-nilai murni yang dikembangkan oleh pelopor terdahulu

Para pelawat berpeluang mengetahui dengan lebih lanjut tentang asal-usul setiap etnik Cina yang menggunakan berbagai-bagai dialek. Selain itu, mereka dapat mengetahui dengan lebih mendalam akan kemahiran tradisional dan seni kebudayaan serta perkembangan yang telah dicapai sepanjang tempoh itu.
Muzium ini terletak di Tebingan Sungai Kuching dan merupakan salah satu tempat tarikan pelancong


MUZIUM TEKSTIL

Muzium Tekstil dan Busana Sarawak yang dibuka kepada orang ramai dalam bulan Ogos 2000 akan ditempatkan di Bangunan Pavalion Bandaraya Kuching. Senibina bangunan adalah campuran Renaissance Inggeris dan Penjajah British . Rekabentuknya membujur panjang dan mempunyai tiga tingkat serta beratapkan konkrit rata. Bangunan ini mempunyai dua tangga yang diperbuat daripada kayu menuju ke tingkat atas dengan birainya (balustrades) dihiasi dengan ukiran yang menarik. Ia telah dibina dalam tahun 1907 sebagai Pusat Perubatan dan kemudiannya dijadikan sebagai pejabat Jabatan Pendidikan. Muzium ini dibuka kepada orang ramai dalam bulan Ogos 2000.


Muzium tekstil ini menyimpan dan mempamerkan tekstil dan busana asli tempatan yang ditenun dan dipakai oleh masyarakat bumiputera dan masyarakat pendatang Sarawak. Pua Kumbu masyarakat Iban dan Kain Songket masyarakat Melayu adalah contoh tekstil tempatan yang dikenali oleh masyarakat antarabangsa. Konsep pameran akan menunjukkan proses tekstil itu dihasilkan dari menyedia benang, bertenun sehingga ianya siap menjadi sehelai kain. Tujuannya ialah untuk memberi peluang kepada pelawat untuk berinteraksi dengan bahan pameran selain dari 'touch on' media yang disediakan. Di penghujung pameran akan mempamerkan pelbagai pakaian masyarakat tempatan.

No comments: