Thursday 7 August 2008

Sejarah...


Sarawak
merupakan sebahagian Kesultanan Brunei dua ratus tahun dahulu tetapi sebagai ganjaran kerana membantu menghancurkan pemberontakan, kawasan ini diserahkan kepada James Brooke, seorang pengembara Inggeris yang memerintah kawasan ini sebagai kemaharajaan peribadi. Kuching dijadikan ibu negeri serta ibu pejabat Brooke. Keluarga Brooke memerintah Sarawak sehingga akhir Perang Dunia II apabila Sir Charles Vyner Brooke, raja ketiga serta terakhir, menyerahkannya kepada Kerajaan British pada tahun 1946. Sarawak dan Komanwel British bertempur dalam "Perang Tak Isytihar" dengan Indonesia agar menghalang Sarawak daripada diserap ke dalam Indonesia Raya. Pihak British memberikan kemerdekaan kepada Sarawak pada tahun 1963, dan bersama-sama dengan Borneo Utara (Sabah) dan Singapura, membantu membentuk Malaysia. (Singapura mengisytiharkan kemerdekaan tidak lama kemudian.)

Asalnya nama Sarawak tidak jelas. "Kuching" ialah ejaan lama bagi perkataan "kucing", tetapi ia juga mungkin merupakan kelainan bagi "Cochin", perkataan India yang bermaksud "pelabuhan". Kuching mula-mulanya ditetap oleh para pedagang India yang mengasaskan pangkalan mereka di Santubong. Artifak-artifak yang berasal daripada kepercayaan Hinduisme kini dapat dilihat di Muzium Negeri. Bandar raya ini tidak pernah mempunyai sebilangan besar kucing apabila dibandingkan dengan bandar-bandar lain. Sebenarnya, arca-arca kucing, Muzium Kucing Kuching, serta perkaitan-perkaitan lain dengan kucing merupakan sebahagian usaha moden untuk mempromosikan pelancongan; banyak risalah pelancongan merujuk kepada Kuching sebagai "Bandaraya Kucing". Selain daripada ini, nama "Kuching" tidak mempunyai maksud sebenar bagi penduduk-penduduknya dan tidak dianggap oleh orang-orang tempatan sebagai suatu nama yang romantik.

Terdapat teori-teori lain yang mengatakan bahawa nama "Kuching" datangnya daripada "mata kucing", sejenis buah; Pokok Mata Kucing kelihatan banyak bertumbuh di tebing sungai yang kini merupakan sebahagian bandar raya Kuching. Terdapat sebuah bukit di pusat bandar raya lama yang dipanggil Bukit Mata Kuching, dan bukit ini juga mungkin merupakan asal nama bandar raya ini.

Bandaraya Kuching ialah ibu negeri Sarawak yang terletak di Malaysia Timur. Sebagai sebuah ibu negeri, Kuching merupakan rumah kepada 458,300 orang. Ini menyebabkan ia menjadi bandar raya yang mempunyai penduduk yang terbanyak di Sarawak dan mendapat kedudukan yang ketujuh di Malaysia. Kuching dinaikkan taraf menjadi sebuah bandar raya pada 1 Ogos 1988.

Kuching terletak di tebing Sungai Sarawak yang terletak pula di bahagian barat laut pulau Borneo. Garisan bujur dan garisan lintang Kuching ialah 01°33' U, 110°25' T.

Kuching mempunyai iklim tropika yang sederhana panas serta banyak berhujan. Hujan tahunan puratanya adalah lebih kurang 4,000 mm atau 160 inci. Kuching ialah bandar raya yang paling lembap di Malaysia. Bulan-bulan yang paling lembap adalah antara November dan Februari semasa musim Monsun Timur Laut. Suhu puratanya adalah di sekitar 23°C pada jam-jam awal pagi dan naik sehingga lebih kurang 32°C pada tengah hari. Suhu ini adalah tetap pada sepanjang tahun.

Kuching mendapat sebanyak lima jam sinaran matahari pada puratanya setiap hari. Pada bulan Januari, semasa kemuncak musim monsun, sinaran matahari setiap hari adalah lebih kurang 3.7 jam. Hujan lebat pada tempoh ini kekadang mengakibatkan banjir.

Tarikan Pelancong

Di dalam bandar, terdapat beberapa muzium seperti Muzium Sarawak yang amat dikenali, Muzium Cina, Muzium Kucing, dan lain-lain yang patut dikunjungi semasa melawat Kuching. Mercu tanda dan tapak menarik termasuk Astana (bekas istana Raja), Kubu Margherita, kuil Tua Pek Kong, dan Bazar Besar. Kawasan dermaga Kuching, yang sebenarnya merupai sebuah esplanad tepi sungai, terletak di sebelah kanan hotel-hotel utama serta kawasan tengah komersil bandar raya dan membekalkan kawasan untuk bersiar-siar pada waktu petang. Kedai-kedai lama di sebelah sana kawasan dermaga menjual berbagai-bagai barang 'antik' dan kraftangan.

Sebilangan kawasan menarik yang lain yang terletak berhampiran dengan pusat bandar termasuk Jalan Padungan yang merupakan kawasan Pekan Cina utama di bandar raya ini. Kedai-kedai yang kelihatan tidak pernah berubah sejak 20 tahun dahulu memberikan wawasan yang mempesonakan tentang kehidupan pada masa dahulu. Jalan Carpenter dan Jalan India masih mengekalkan daya tarikan dunia lama, walaupun proses globalisasi tidak henti-henti mencerobohinya. Bangunan Mahkamah lama merupakan penghubung antara Jalan Carpenter dan Jalan India, dan berbaloi untuk dikunjungi bagi mengenang kembali keindahan kolonial yang menjadi pudar (kini dipulihkan dan dimodenkan). Taman-taman di sekeliling bandar raya yang dijaga dengan baik juga merupakan tempat-tempat yang baik untuk dikunjungi.

Kuching mempunyai sebilangan hidangan terkenal yang dilayan oleh gerai-gerai penjaja:

  • 'Mi kolok' Kuching atau 'koh-loh mein' (mi yang direbus dan kemudian dihidangkan dengan bawang putih, bawang merah, serta hirisan daging barbeku yang dikenali sebagai "char siew")
  • Laksa Sarawak (sup santan berempah yang berasaskan belacan dan yang dihidangkan dengan mi hun, telur, udang, ayam, tauhu goreng, dan kekadangnya kerang)
  • Mi Sos Tomato (mi garing yang dihidangkan dengan sos tomato, sayur, dan daging) atau Kuay Teow Sos Tomato yang merupakan hidangan penjaja yang paling dikenali.

No comments: